Selagi Nadiku Berdenyut

Dalam kerendahan diri,ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta,ada kekayaan jiwa.Dalam kesempitan hidup,ada keluasan ilmu maka dalam nikmat anugerah yang diraih,pastikan ada keinsafan hakiki...

Thursday 14 January 2010

Kawan..Teman..Sahabat

Saya adalah antara kalangan yang suka berkawan,berteman atau bersahabat. Tiga perkataan yang berlainan bunyi tetapi hampir mempunyai maksud yang sama bergantung kepada pemahaman individu itu sendiri. Bersahabat dengan sesiapa sahaja baik lelaki atau perempuan ataupun campuran keduanya. Bersahabat dengan mereka yang dari pelbagai agama,bangsa,darjat,keturunan dapat menjadikan kita lebih bersifat 'terbuka'. 'Terbuka' bukan bermakna kita mudah terpengaruh dengan mereka tetapi ianya akan memudahkan kita memahami serta difahami.Memang agak luas simboliknya tetapi terimalah sesiapa saja yang hendak bersahabat dengan kita secara positif walaupun nyatanya yang datang itu mungkin dari kalangan negatif.

Sedikit yang saya ingin kongsikan bersama,cerita mengenai kisah hidup saya berkisarkan topik bersahabat. Saya dilahirkan di Perak. Dari kecil lagi sudah bersekolah dan berjiran dengan rakan-rakan yang berbangsa india dan cina. Selepas peperiksaan SPM,saya bersahabat dengan seorang gadis cina yang hidupnya terlalu sosial tetapi Alhamdulillah akhirnya dia jatuh hati dengan pemuda Islam. Sejak itu dia mula berubah dan semakin mendekati Islam. Kami terputus hubungan kerana saya berpindah ke Selangor tetapi saya masih berharap semoga suatu hari nanti dapat berjumpa semula dengannya.

Di Selangor saya semakin ramai sahabat tidak mengira usia,bangsa,agama serta kedudukan. Malah saya mempunyai 'team' saya sendiri yang terdiri dari ustazah,guru,surirumah serta yang bekerja bidang profesional. Itu "team" sayap kanan..team sayap kiri pula majoriti lelaki pula. Team kami bersifat 'terbuka'..dengan satu kata sepakat..'walau siapa pun anda,kami terima seadanya..'

Bagi saya selain dari tanggungjawab terhadap keluarga,setiap dari kita harus bertanggungjawab terhadap sesama manusia. Selagi tidak membatasi hukum, bersahabatlah dan saling membantulah antara kita. Bersahabat dengan mereka yang jahil tentang agama tanpa memandang rendah kepadanya,pastinya sedikit sebanyak akan membuatkan mereka tersentuh hati. Nasihatilah mereka dengan selembut-lembut nasihat serta penuh hikmah. Bukan sekadar nasihat tapi jadikanlah diri kita contoh terbaik buat mereka.

Bersahabat pula dengan mereka yang bukan beragama Islam, lain pula caranya. Hormatilah agama mereka di samping itu kita harus menunjukkan akhlak Islam yang sebenarnya. Walau tak dapat menarik mereka untuk memeluk agama Islam,paling tidak pun dapat memperlihatkan keindahan Islam di mata mereka. Justeru itu baikilah akhlak kita sesempuna acuan akhlak Islam yang sebenarnya untuk mengembalikan keindahan Islam.

Penuhilah diri kita dengan rasa tanggungjawab apabila bersahabat dengan mereka yang baru mendapat hidayah Islam. Jangan sesekali memperlekehkan mereka dengan menyebut-nyebut kisah silam mereka kerana mereka agak mudah terasa lebih-lebih lagi apabila timbulnya kerinduan terhadap keluarga mereka. Nasihatilah dengan lembut disertai dengan kata-kata semangat apabila mereka sesekali teringat akan agama lama mereka. Ingatlah.. bahawa kita yang memang dilahirkan Islam pun tidak terlepas dari kesilapan apatah lagi mereka..malah mereka lebih suci dari kita..

Memelihara sesebuah persahabatan juga adalah bergantung kepada inisiatif individu itu sendiri. Kejujuran serta keikhlasan membantu sahabatnya walau dalam apa jua keadaan amatlah penting. Bak kata pepatah 'buat baik berpada,buat jahat jangan sekali'. Hati manusia,siapalah tau..'ibarat sekali air bah,pantai pun turut berubah'. Persahabatan juga mampu dijadikan kayu pengukur kredibiliti seseorang individu. Ianya juga dapat menguji tahap kesabaran serta keupayaan seseorang itu menangani sesuatu permasalahan.

Pelbagai persepsi yang timbul dari ertikata sebuah persahabatn namun hadapilah dengan rasa fleksibel. Sentiasa memantapkan diri kita dengan keimanan supaya kita berupaya membawa serta membimbing diri kita juga sahabat kita ke jalan yang diredhai.Dan andai kita bertemu dengan sahabat yang mempunyai kelebihan,jangan segan silu serta rendah diri untuk belajar dengannya. Hargailah nilai sebuah persahabatan dengan penuh keinsafan serta saling berkongsi-kongsi ilmu dengan cara yang lebih bermanafaat kerana ilmu Allah terlalu luas jangkauannya..

No comments:

Post a Comment